MELAKA, 13 Okt : Polis bertindak merampas kereta jenis Toyota Camry yang merupakan kenderaan rasmi Kerajaan Melaka selepas tidak dipulangkan oleh bekas Exco, Datuk Noorhizam Hassan Baktee.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, rampasan berkenaan dilakukan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial pada pukul 11.20 pagi semalam.
Katanya, kereta yang mempunyai nombor pendaftaran MAL 3 berwarna hitam itu dijumpai di aras tiga, Parkland Residende Mea di Jalan Tun Perak.
” Polis turut merampas satu anak kunci kereta, satu kad Touch N Go dan satu kad minyak Petronas daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi Noorhizam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ditanya mengenai punca polis bertindak merampas kenderaan berkenaan, Abdul Majid menjelaskan, pihaknya telah menerima satu laporan pada 11 Oktober lepas daripada seorang kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai sebuah kenderaan rasmi milik kerajaan negeri yang tidak dipulangkan oleh Noorhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Batu.
” Siasatan awal mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kereta berkenaan telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan pada 5 Oktober yang telah diserahkan kepada pegawai khas Noorhizam,” katanya.
Ujarnya, rampasan berkenaan telah dibuat selepas polis membuat permohonan mengikut Seskyen 56 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Ayer Keroh untuk mendapatkan waran geledah dan seterusnya bagi membolehkan polis merampas barang kes.
Beliau memberitahu, setakat ini seramai lima orang saksi telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan harta secara tidak jujur.
Sebelum ini, Norhizam berkata, beliau hanya akan memulangkan semua aset kerajaan sekiranya 28 bekas wakil rakyat lain termasuk barisan Exco melakukan perkara sama. -TVS