Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis tahan lima lelaki, rampas dadah hampir RM500,000

ALOR SETAR, 13 Okt — Polis menahan lima lelaki dan merampas lebih lima kilogram dadah jenis heroin base bernilai hampir RM500,000 dalam empat penahanan berasingan di sekitar Sungai Petani, Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah antara 4.40 dan 4.45 petang.

“Polis telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios di tepi jalan Taman Cindai Jaya dan menahan dua lelaki. Hasil pemeriksaan menjumpai empat ketulan mampat yang dibalut dengan plastik lut sinar dan kertas minyak disyaki heroin base seberat hampir tiga kilogram.

“Ekoran penahanan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Taman Raja dan menjumpai bungkusan plastik lut sinar mengandungi tiga ketulan mampat berisi heroin base seberat lebih dua kilogram,” katanya kepada pemberita pada program pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki di Taman Ria Jaya dan Taman Cindai Jaya yang disyaki turut terlibat dengan pengedaran dadah.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka aktif dalam pengedaran dadah sejak sebulan lepas dan pasaran mereka adalah sekitar negeri-negeri di utara. Dianggarkan dadah itu dapat digunakan oleh sejuta penagih.

“Hasil saringan urin mendapati kesemua lelaki itu negatif dadah manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang turut melibatkan kes dadah,” katanya sambil menambah polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal serta wang tunai berjumlah RM74,800 daripada kesemua lelaki itu.

Beliau berkata kesemua mereka direman tujuh hari hingga 18 Okt depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai pelupusan dadah hari ini, Kamarul Zaman berkata pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta itu merupakan barang kes yang telah selesai perbicaraan mahkamah dan dijatuhkan hukuman bagi 2014 hingga 2020.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sejak rentas negeri dibenarkan pada Isnin lepas, sebanyak 80,000 kenderaan telah masuk ke Kedah dan jumlah itu dijangka meningkat antara 100,000 hingga 120,000 kenderaan menjelang hujung minggu ini.

“Memang kenderaan yang masuk ke Kedah meningkat sejak rentas negeri dibenarkan. Mahu datang ke Kedah silakan tetapi apa yang penting mereka semua perlu jaga prosedur operasi standard (SOP),” katanya. — BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan