KUCHING, 12 Okt : Jalan Tun Jugah ke Bulatan Simpang Tiga dan Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan akan ditutup sementara bermula 13 Oktober dari jam 8 malam hingga 5 pagi setiap hari.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching dalam satu kenyataan, penutupan itu yang dijangka siap pada 5 November depan adalah bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan secepat mungkin.
“Penutupan jalan raya hanya akan dilakukan semasa kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di tapak kerja bagi memberi ruang jentera berat melaksanakan kerja.
“Walau bagaimanapun, jalan raya ini akan dibuka secepat mungkin sekiranya kerja penyelenggaraan dapat disiapkan awal bagi melancarkan pergerakan trafik,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda keselamatan yang telah disediakan sebelum atau sekitar kawasan yang terlibat.
Selain itu kerjasama awam juga dituntut dengan mematuhi arahan penjaga laluan untuk melancarkan pergerakan trafik.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan lebih teliti dari semasa ke semasa sepanjang kerja-kerja penyenggaraan dijalankan.
“Sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan dengan aliran trafik di kawasan penyelenggaraan, sila berhubung dengan Pejabat JKR Bahagian Kuching (016-8885761) dan DAL HCM (011-51620097) pada waktu pejabat,” ujarnya lagi. – TVS