KUCHING, 12 Okt : Belanjawan Negeri Sarawak 2022 jelas mempamerkan sifat inklusif, berteraskan rakyat dan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman
Beliau yang menyambut baik pengumuman belanjawan berkenaan juga yakin tumpuan Belanjawan 2022 terus menyelamatkan nyawa dan memastikan kelangsungan hidup semasa pandemik COVID-19.
“Saya menyambut baik belanjawan negeri untuk tahun 2022 iaitu RM6.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.046 bilion untuk perbelanjaan pengoperasian.
“Belanjawan 2022 yang bersifat pengembangan itu adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat, berdasarkan perlindungan nyawa dan memastikan kelangsungan hidup semasa pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Jelasnya lagi, meskipun dinyatakan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 bahawa belanjawan tidak perlu mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua ADUN.
“Ini untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam menggubal belanjawan negeri untuk tahun hadapan dan memberi penjelasan berkenaan dengan isu-isu berbangkit.
“Ia juga untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menggunakan dana rakyat,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Belanjawan Negeri Sarawak 2022 selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri Sarawak 2022, pada Selasa.