KUALA LUMPUR, 11 Okt : Seorang pengasuh warga Singapura akan dihadapkan di Mahkamah Ampang pada Selasa ini atas dua pertuduhan termasuk mengabaikan seorang kanak -kanak Autisme.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, siasatan kes membabitkan wanita berkenaan telah selesai hari ini dan pihaknya menerima arahan untuk mendakwa suspek berusia 51 tahun di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak -kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Pertuduhan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang dikenakan terhadapnya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, tular video menunjukkan wanita berkenaan dilihat bertindak kasar terhadap seorang kanak -kanak lelaki di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Ampang pada 3 Oktober lalu yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Video berkenaan antara lain menunjukkan seorang kanak – kanak lelaki di meja makan yang enggan menjamah makanan dan ‘melarikan diri’ sebelum ‘dikejar’ serta ditarik dengan kasar oleh seorang wanita.
Bapa kanak – kanak itu yang tidak berpuas hati apabila mendapati terdapat kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan anaknya kemudian membuat laporan polis dan yang membawa kepada penahanan suspek untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Mohamad Farouk berkata, bagi kesalahan Imigresen, wanita berkenaan berdepan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua – duanya sekali jika sabit kesalahan.
Polis sebelum ini mengesahkan pas lawatan sosial wanita itu untuk memasuki negara ini telah tamat tempoh lebih setahun lalu -TVS