MUKAH, OKTOBER 11: Seorang wanita yang menjual roti canai ditahan polis di sini kerana disyaki memiliki dan mengambil dadah.
Suspek, dalam lingkungan usia 40an yang berasal dari Mukah itu ditahan di dalam sebuah kereta di parkir di tepi Jalan Selangau-Bintulu sekitar jam 5.45 petang pada Ahad.
Turut ditemukan bersamanya ialah dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 51.60 gram.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan ketika ditahan di sebuah lokasi yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menjumpai satu beg silang yang mengandungi satu paket plastik lutsinar besar berisi dua paket plastik lutsinar sederhana besar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine.
“Turut ditemukan ialah satu paket plastik lutsinar sederhana besar yang mengandungi lima paket plastik lutsinar kecil yang berisi ketulan-ketulan kristal juga dipercayai dadah jenis yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, berdasakan siasatan awal suspek telah didapati terlibat dengan penagihan dadah sejak 2010.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine,” tambahnya.
Bagaimanapun, suspek serta barang rampasannya turut dibawa ke pejabat BSJN IPD Mukah untuk tindakan lanjut
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengukut Sekysen 39B (2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dengam 15 kali sebatan.