BELAGA, 8 Okt : Seramai 15 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) ditauliahkan selepas berjaya menamatkan latihan kursus selama 100 jam di Balai Bomba dan Penyelamat BBP Belaga.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah, berkata pelantikan PBB baharu itu diharapkan dapat memudahkan setiap urusan kebombaan dalam kalangan masyarakat di Belaga yang sudah 30 tahun menanti-nantikan BBP.
“Dengan adanya 15 orang ini, ia akan menambahkan lagi kekuatan balai ini yang telah beroperasi sejak 1 April 2021.
“Kita anggarkan bahawa dengan kekuatan ini, seramai 15 orang, ia akan membantu meningkatkan perkhidmatan kebombaan di kawasan Belaga ini,” katanya ketika berucap mewakili Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, pada Majlis Pentauliahan PBB Siri 2/2021 di BBP Belaga.
Beliau menambah, mereka yang terpilih merupakan pemuda tempatan dari daerah Belaga sendiri agar mereka dapat menjadi penghubung kepada masyarakat tempatan.
“Pertamanya, apabila kita lantik pemuda-pemuda tempatan ini, kita juga mengharapkan, apabila kita mendedahkan dan berkongsi ilmu kebombaan dengan mereka ini, mereka menjadi ejen bagi jabatan untuk memberikan kesedaran dalam kalangan orang kampung dan dalam kalangan ahli keluarga terdekat tentang kerja-kerja kebombaan dan bagaimana untuk mencegah api kebakaran,” ujar Henderi lagi.
Dalam pada itu, dua PBB yang sempat ditemui menzahirkan rasa gembira dan bangga kerana berpeluang untuk berkhidmat dalam bidang kebombaan di kawasan Belaga meskipun hanya menjalani latihan selama 10 hari sahaja.
“Saya gembira sebab dapat menghabiskan latihan walaupun dalam masa 10 hari. Jadi saya masuk memandangkan ini juga tempat saya lahir, di Belaga.” kata pelatih bomba bantuan, Sharoy Sabat.
Bagi Gilbert Apok pula, yang merupakan peserta terbaik keseluruhan, penubuhan balai ini sangat bagus sebab boleh meningkatkan lagi keselamatan orang Belaga.
“Bagi saya, ini sangat penting sebab sudah lama orang Belaga meminta balai, dan sekarang sudah ada. Begitu juga dengan anggota, dan saya juga bangga jadi salah seorang anggota dan bersiap sedia untuk menyelamatkan orang Belaga,” kata Gilbert. – TVS