Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Harga siling baharu kit ujian pantas antigen COVID-19 ditetapkan pada November

KUCHING, 8 Okt : Kerajaan akan menetapkan satu paras harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit berkenaan.

“Kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 akan diturunkan tidak lama lagi, sebagai galakan untuk orang ramai membuat pemeriksaan sendiri setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Nanta berkata terdapat kira-kira enam juta kit ujian pantas antigen COVID-19 berada di pasaran.

Menurut beliau KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit berkenaan di pasar raya, yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir bulan ini.

“KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

Beliau berkata mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian itu kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan