KUCHING, 8 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus berdiri teguh dengan pendiriannya mengalu-alukan Undi18 yang sekaligus menyumbang kepada kematangan politik.
Kelab Penyokong GPS dalam satu kenyataan berkata, menerusi penyertaan belia dalam proses demokrasi, ia memberi peluang untuk golongan terbabit bersuara dalam memilih wakil rakyat masing-masing.
“Kami berpandangan bahawa para belia, apabila diberi peluang untuk memilih wakil mereka, dapat menilai sendiri khidmat bakti yang diberikan oleh kerajaan negeri terutamanya berikutan pandemik COVID-19 dari segi menyelamatkan nyawa rakyat dan memastikan kelangsungan hidup,” katanya dalam satu kenyataan sebagai menjawab kenyatan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh yang mendakwa kononnya GPS tergesa-gesa mengadakan pilihan raya negeri kerana bimbang akan pelaksanaan Undi18 yang mengubah keputusan pilihan raya.
Tambah kenyataan terbabit, dakwaan berkenaan tidak lebih daripada tuduhan liar dan tidak disokong oleh fakta.
Untuk rekod, Sarawak merupakan negeri pemberi vaksin terpantas di seluruh negara dan pada masa ini, ia sedang memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Mulai bulan ini juga, Sarawak akan memberikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada kumpulan sasar,” tambah kenyataan terbabit sambil menambah segala usaha GPS adalah semata-mata demi memastikan kelangsungan hidup penduduk di negeri ini.
Bukan itu sahaja, katanya, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang telah memperkenalkan bantuan pandemik yang besar dari segi jumlahnya melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), yang bermula dengan pakej pertamanya (1.0) pada bulan Mac tahun lalu hingga pakej ketujuh (7.0) pada bulan Ogos yang lalu.
“Jumlah kesemua pakej bantuan ini menelan perbelanjaan sebanyak RM5.3 bilion.
“Nilai rangkaian pakej ini adalah yang terbesar yang diberikan oleh sebuah negeri di Malaysia semasa COVID-19,” ujarnya.