Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Samsung Engineering akan bangun projek ammonia dan hidrogen hijau di Bintulu

ByFreddy Bohari

KUCHING, 7 Oct: Samsung Engineering, salah sebuah syarikat kejuruteraan, perolehan, pembangunan dan pengurusan projek (EPC&PM) terkemuka di dunia, merancang untuk membangunkan projek ammonia dan hidrogen hijau yang dipanggil ‘Projek H2biscus’ di Bintulu.

Projek tersebut dibentangkan semasa ‘Pengumuman Strategi Pembangunan Masyarakat dan Ekonomi Hidrogen Kerajaan Korea’ pada hari ini, yang mengetengahkan ciri-ciri dan pencapaian ekonomi hidrogen Kerajaan Korea Selatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering, Sungan Choi, telah membentangkan ‘Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak Malaysia’ kepada Presiden dan Jemaah Menteri Republik Korea.

Dalam pembentangan beliau, Choi memberitahu tiga syarikat utama Korea, iaitu POSCO, Lotte Chemical dan Samsung Engineering, akan memainkan peranan aktif dalam usaha membangunkan seluruh kitaran projek, termasuk pelaburan langsung, pembinaan, pengangkutan dan penggunaan.

Projek itu dijangka akan menghasilkan pelbagai produk mesra alam, seperti hidrogen hijau, ammonia biru dan hijau serta metanol hijau.

Choi menekankan bahawa projek itu akan dijadikan sebagai projek bertaraf antarabangsa yang wajar diteladani bagi perdagangan tenaga diperbaharui serta pengangkutan hidrogen antara Korea Selatan dan Malaysia, dengan menetapkan standard berkaitan hidrogen bagi kedua-dua negara.

Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak akan ditaja dan dibangunkan oleh POSCO, Lotte Chemical, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menerusi anak syarikatnya, SEDC Energy, dan konsortium Sarawak Engineering.

Ia dijangka menghasilkan 7,000 tan hidrogen hijau setahun bagi kegunaan tempatan di Sarawak, 600,000 tan ammonia biru setahun, 630,000 tan ammonia hijau setahun, dan 460,000 tan metanol hijau setahun.

Kajian Pra-kebolehlaksanaan sudah siap dan Kajian Kebolehlaksanaan dijangka bermula pada tahun ini.

Kontrak bagi FEED (Front End Engineering Design) dan EPC dijadual dianugerahkan pada tahun depan.

Samsung Engineering kini sedang melaksanakan projek loji metanol Sarawak Petchem di Bintulu, yang dijangka menghasilkan 5,000 tan metanol sehari.

Samsung Engineering ingin menjadi ‘Penyedia Solusi Hijau Melangkaui EPC’ dengan menyediakan khidmat pengoptimuman tenaga dan infrastruktur hijau menerusi analisis proses berdasarkan kembar digital.

Dengan memajukan teknologi hidrogen baharu dan teknologi ‘Carbon Capture, Usage and Storage’ (CCUS), ia ingin mengubah industri tenaga.

Pada petang semalam (Rabu), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mengetuai pasukan Kerajaan Sarawak dalam sesi perbincangan dalam talian bersama konsortium Korea untuk mendapatkan pandangan mengenai projek-projek berkenaan dan manfaatnya kepada Korea Selatan dan Sarawak. – TVS

TENAGA MESRA ALAM: Abang Johari dan Awang Tengah bersama pasukan Kerajaan Sarawak dalam perbincangan dalam talian bersama konsortium Korea.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan