Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kumbang bantu membersihkan air dipenuhi kiambang

Oleh: Amirul Mukminin

KOTA KINABALU, 7 Okt : Badan air yang banyak tercemar akibat kiambang Salvinia Molesta di Sabah dijangka dapat dibersihkan dengan menggunakan kumbang Cyrtobagous Salviniae.  

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, turut memuji usaha mesra alam yang diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri menerusi Jabatan Pertanian.  

Rumpai akuatik Salvinia molesta ini, yang berasal dari Brazil, tumbuh pada permukaan air dan membahayakan biodiversiti serta pelbagai spesies air tawar, termasuk ikan dan tumbuhan akuatik.

Kiambang ini pertama kali dikesan di Sabah pada awal tahun 2000.

Spesies kumbang bermuncung panjang, kumbang Cyrtrobagous salviniae atau kumbang salvinia, merupakan agen pengawal hama biologi bagi Salvinia molesta atau biasanya dikenali sebagai salvinia gergasi kerana kedua-dua kumbang dewasa dan larva memakan tumbuhan.

Ketika melancarkan program secara maya untuk memperkenalkan kiambang Cyrtobagous salviniae kepada seluruh daerah di Sabah, Ketua Menteri berkata kiambang gergasi ini atau `giant salvinia’ telah mencemari sekurang-kurangnya 200 badan air seperti sungai, kolam ikan, parit dan sawah di seluruh negeri ini.

“Ini adalah keadaan yang serius dan perlu ditangani dengan segera,” katanya.

Menurutnya, tindakan harus diambil untuk menghentikan penyebaran kiambang ini di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Beaufort, Kuala Penyu, Papar, Kota Kinabalu, Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Kudat, Tongod dan Tuaran.  

Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai dan menyokong pelbagai langkah yang telah diambil oleh Jabatan Pertanian Sabah bersama Koperasi Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL Bhd), Agensi Remote Sensing Malaysia (MYSA), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah dan Sawit Kinabalu Sdn Bhd dalam aktiviti memantau infestasi (organisme) rumpai kiambang.  

“Usaha ini diperlukan bagi memastikan serangan kiambang Salvinia molesta dapat diatasi secara menyeluruh. Justeru itu, saya ingin menyeru seluruh masyarakat di Sabah untuk sama-sama menyertai perjuangan mengawal perebakan kiambang ini bagi memastikan badan air dan alam sekitar terus terpelihara,” katanya.  

Dalam masa sama, Ketua Menteri menggesa orang ramai agar sentiasa peka kepada ancaman ini dan tidak sewenang-wenang membawa, menjual atau menyebarkan apa-apa jenis tanaman, haiwan atau mikro organisme dari luar negeri atau luar negara tanpa melalui prosedur kuarantin yang betul seperti prosedur kuarantin yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin 1981. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan