Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Pengarah Narkotik PDRM, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor di sini hari ini.

Sindiket guna anak patung ‘eksport’ dadah ke luar negara tumpas

ByFirdaus Ismail

KAJANG, 6 Okt : Taktik satu sindiket pengedaran dadah tempatan yang menggunakan pelbagai barangan termasuk anak patung untuk mengisi dadah sebelum ‘dieksport’ ke luar negara berjaya ditumpaskan oleh polis.

Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/ Tahanan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, hasil enam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur , pihaknya berjaya merampas pelbagi jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta.

Katanya, dadah yang dirampas ialah Methamphetamine seberat 5.8 kilogram (kg), Ketamin (14.8 kg), cecair MDMA (30.1 liter), serbuk MDMA (34.3 kg) dan serbuk kafein seberat 2.2 kg.

Selain anak patung, potret gambar berunsur keagamaan turut digunakan oleh sindiket ini untuk mengisi dadah sebelum ‘dieksport’ ke negara – negara Eropah dengan menggunakan syarikat kurier yang berpengkalan di Singapura.

” Hasil perkongsian maklumat dengan Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB), polis percaya sindiket ini menjalankan aktiviti penyeludupan dadah untuk pasaran antarabangsa dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier yang berpengkalan di negara berkenaan untuk menghantar bungkusan berisi dadah yang diikrar sebagai barangan sah ke negara – negara Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Jefferi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

Menurut Abdul Aziz, serbuan berkenaan juga berjaya menahan lima suspek yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 71 tahun dengan pecahan terdiri daripada satu lelaki Cina tempatan, tiga perempuan Cina tempatan dan seorang wanita Melayu.

” Selain anak patung, barangan lain yang digunakan untuk diisi dadah termasuklah gula -gula, kopi pra campuran, botol minuman, potret gambar keagamaan dan gambar pemain bola sepak,” katanya.

Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan memproses dadah daripada sindiket yang dipercayai mula aktif menjalankan kegiatan jenayah mereka sejak awal tahun ini.

“Sekiranya ‘bekalan’ dadah berkenaan terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh seramai 193 168 orang penagih dan berdasarkan penemuan peralatan memproses dadah, polis percaya mereka turut menghasilkan dadah,” katanya.

Beliau memberitahu, polis turut menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM676 926 56 termasuk tiga buah kereta bernilai RM250 000 dan wang dalam akuan berjumlah RM426 926.56.

” Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM5 590 442.56,” katanya.

Kesemua suspek telah direman selama 12 hari sejak 25 September lepas bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan