Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pelan Induk Bandar Pintar Kuching bakal mengubah hidup penduduk Kuching melalui sistem teknologi canggih

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 5 Okt : Menjelang tahun 2025, kehidupan penduduk Bandaraya Kuching dijangka berubah dari pelbagai aspek dengan terlaksananya Pelan Induk Bandar Pintar Kuching, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, penduduk Kuching bakal menikmati kemudahan teknologi yang meliputi pelbagai aspek termasuklah keselamatan selain memfokuskan kepada lima portfolio utama iaitu ekonomi, kerajaan, alam sekitar, kehidupan dan infrastruktur digital.

“Sebagai contoh, penduduk di sini akan dapat menyambungkan kamera telefon bimbit dengan Smart City Operation System untuk tujuan keselamatan sekaligus dapat menjimatkan kos pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagi penyedia perkhidmatan keselamatan swasta, mereka dapat memanfaatkan kemampuan Sistem Operasi seperti pengesanan pencerobohan, pengenalan wajah dan geo-pagar untuk menyediakan perkhidmatan yang berpusat pada pengguna yang inovatif dan mewujudkan peluang perniagaan tanpa batas,” ujarnya lagi.

Pelan induk tersebut turut mensasarkan Kuching sebagai sebuah bandar makmur yang boleh dimanfaatkan oleh penduduknya termasuklah perniagaannya menjelang tahun 2025.

Beliau menjelaskan terdapat kemungkinan bandar pintar ini turut akan diperluaskan sehingga ke Padawan dan juga Samarahan.

“Ini kerana saya juga percaya dengan penubuhan Sistem Aliran Autonomi (ART) kelak, ia bakal menjadi antara pendekatan sebagai bandar pintar sekaligus membolehkan semua kawasan ini disatukan atau mudah diakses,” katanya pada majlis pelancaran Kuching SMART City Masterplan Ready for Implementation, di sini, hari ini.

Beliau juga yakin dengan kelebihan itu, lebih ramai lagi pelabur-pelabur akan masuk ke Sarawak sekaligus menjadikan negeri ini sebagai antara negeri terpilih untuk pelaburan.

Beliau tidak menolak kemungkinan Bintulu bakal menjadi sebahagian daripada pelan bandar pintar.

“Ini kerana saya percaya Samalaju akan berkembang begitu juga Kidurong, yang mana kita juga akan memerlukan ART untuk menghubungkan Bintulu dan Samalaju.

“Ia akan memudahkan pergerakan penduduk kita dan pada masa sama menjurus kepada memajukan masyarakat kita dengan rangkaian pintar,” katanya.

Pelan induk ini telah melibatkan sebanyak 14 agensi-agensi kerajaan dan 1,236 responden awam selama tempoh 10 bulan.

Asas pembentukan rumusan inisiatif strategik pelaksanaan pelan ini memfokuskan kepada lima portfolio utama iaitu ekonomi, kerajaan, alam sekitar, kehidupan dan infrastruktur digital.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) berkata KSCMP dapat menjadikan penduduk bandar di Sarawak hidup dengan lebih makmur terutamanya yang menceburi diri dalam bidang perniagaan.

“Konsep utama adalah operasi induk bandar pintar, yang merupakan yang pertama di Malaysia yang bertujuan untuk menyampaikan pelbagai perkhidmatan sistem yang cekap dan efisien untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam ekosistem Bandar Pintar turut serta dalam inovasi perkhidmatan bandar.

Menurut beliau, SMA telah melakukan kajian komprehensif tahun lepas untuk mengembangkan KSCMP, dan tujuan kajian tersebut adalah untuk mengenal pasti masalah yang mempengaruhi kehidupan warga penduduk dan mengenal pasti bidang untuk menangani masalah tertentu.

“Kajian ini melibatkan responden sebanyak 632 penduduk, 604 entiti perniagaan, pengurus industri, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang mewakili pelbagai kumpulan kepentingan mengenai isu-isu yang dihadapi bandar Kuching dan cadangan untuk mengubah Kuching menjadi bandar pintar,” katanya.

Jelas beliau, SCMP memetakan pengembangan platform infrastruktur digital bandar pintar teras dan aplikasi bandar pintar bersama yang penting di mana agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat kemudian dapat mengemas dan menyampaikan sistem perkhidmatan dan produk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan, yang hadir, juga secara simbolik menyerahkan tablet untuk pelajar yang kurang berkemampuan di negeri ini yang diterima oleh pengarah Pendidikan Negeri, Dr Norisah Suhaili.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan