SHAH ALAM, 4 Oktober — Polis menahan seorang wanita dan anak perempuannya sekitar Klang selepas menerima laporan pembantu rumah warga India yang mengadu tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sejak bekerja di rumah mereka, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S.Vijaya Rao berkata wanita warga India yang melarikan diri dari dari rumah berkenaan ditemui orang awam di kaki lima Pejabat Pos Klang pada 19 Sept lepas, dan hanya membuat laporan polis mengenai masalahnya semalam.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati wanita berumur 26 tahun itu telah masuk ke Malaysia dan bekerja di rumah berkenaan selama 19 bulan.
“Wanita itu kemudiannya melarikan diri kerana tidak tahan berkerja dan tidak dibayar gaji, malah turut dipukul dengan wayar seterika di bahagian peha kaki hadapan oleh anak majikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita itu ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Damansara selama 21 hari untuk melengkapkan siasatan.
Vijaya Rao berkata suspek berumur 49 tahun dan 28 tahun itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.
— BERNAMA