SEBUYAU, 4 Oktober: Masa dan jarak ke perjalanan dari ibu kota Kuching ke Simanggang, Betong dan Sibu akan menjadi lebih singkat dengan adanya jalan raya yang menghubungkan Sebuyau ke Lingga.
Projek pembinaan jalan raya tersebut telah bermula pada Januari 2021 dan dijangka siap pada Mei 2025.
Projek yang menelan kos sebanyak RM494 juta tersebut merupakan projek di bawah program pembangunan Jalan Utama Kedua yang merupakan salah satu jalan penghubung luar bandar dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, lebuh raya tersebut mampu mengurangkan masa perjalanan hingga hampir 50% yang mana akan menjimatkan masa dan kos perjalanan pengguna.
“Jarak perjalanan dari Sebuyau ke Lingga akan jauh lebih pendek berbanding jarak perjalanan melalui jalan pan borneo,” ujarnya ketika sidang media selepas lawatan tapak pembinaan Lebuh Raya Sebuyau-Lingga.
“Projek melibatkan pembinaan jalan sehala 2 lorong jenis R5 JKR Standard dan mempunyai sebuah jambatan menyeberangi Sungai Lingga sejauh 720 meter,” jelasnya.
Dalam pada itu, perjalan dari Samarahan dan Sebuyau dapat dilakukan secara terus ke Lingga tanpa melalui Pusa atau Serian.
Projek pembinaan jalan raya tersebut juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi penduduk di kawasan luar bandar
khususnya di Lingga dan Sebuyau. -TVS