SIBU, 4 Oktober: Seramai 29 penghuni tiga buah rumah di Lorong Sentosa 2, Jalan Salim hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka hangus dalam satu kebakaran.
Dalam kejadian lebih kurang jam 8.30 malam itu, sebuah rumah musnah sama sekali sementara dua lagi terjejas 40 dan 80 peratus sekaligus menyebabkan kesemua mereka hilang tempat tinggal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sibu, PKPGB Suna Kahar berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 8.43 malam.
Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari BPP Sibu dan BBP Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah berstruktur tidak kekal,” katanya hari ini.
Ujarnya, operasi pemadaman dimulakan dengan menggunakan tiga aliran 300 kaki , empat nozel, satu pam angkut, satu pam jentera dan sumber air dari bekalan air terbuka (parit) manakala pasukan dari BBP Sg Merah bertindak menggunakan satu aliran, dua nozel.
Tambahnya , rumah pertama didiami seramai 15 orang dan rumah kedua pula didiami lapan orang manakala saru lagi mempunyai enam penghuni.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.14 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.50 malam.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut” katanya.
Agensi lain yang hadir di lokasi termasuk pihak polis DiRaja Malaysia, Sarawak Energy dan Anngkatan Pertahanan Awam.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan