KUALA LUMPUR, 4 Okt : Lapan terbunuh termasuk seorang kanak – kanak lelaki selepas sebuah pesawat terhempas di atas bangunan pejabat kosong di Milan, Itali.
Pihak berkuasa kini memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca pesawat peribadi berkenaan terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Linate Milan ke Pulau Sardinia.
Puluhan ribu rakyat Brazil turun ke jalan di beberapa bandar utama negara berkenaan bagi menyuarakan protes terhadap pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh parti pembangkang dan kesatuan sekerja itu dilakukan menjelang pilihan raya Brazil yang dijadualkan setahun dari sekarang.
Tinjauan pendapat kini menunjukkan populariti Bolsanaro merudum selepas rakyat kecewa dengan kelemahan kerajaan menguruskan pandemik COVID-19 yang menyaksikan lebih 600 000 kematian dicatatkan di negara itu.
Perdana Menteri New Zealand , Jacinda Ardern mengumumkan bandar terbesar negara itu , Auckland akan melaksanakan perintah berkurung selama lima hari selepas pihak berkuasa mengesan peningkatan kes varian Delta di bandar berkenaan.
Semalam, Auckland yang mempunyai 1.7 juta penduduk mencatatkan 32 kes baharu COVID-19.
Beralih ke aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi menyaksikan Liverpool dan Manchester City berkongsi mata apabila kedua -dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan di Anfield.
Selepas tujuh perlawanan, Chelsea kini berada pada kedudukan teratas dengan 16 mata manakala Liverpool yang merupakan pasukan tunggal belum tewas setakat ini mengekori di tempat kedua dengan 15 mata. Manchester City ketiga dengan 15 mata.
Sementara itu, China menjuarai kejohanan badminton Piala Sudirman selepas menewaskan dengan keputusan Jepun 3-1 dalam aksi final di Vantaa, Finland. – TVS