Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Warga sukan negara bersedih atas pemergian Zolkples

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR , 3 Okt : Barisan atlet dan warga sukan negara hari ini bersedih atas kematian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong pagi tadi.

Majoriti mereka menggunakan platform media sosial masing – masing untuk berkongsi kenangan bersama Zolkples yang dianggap individu penting dalam perkembangan sukan tanah air.

Jaguh berbasikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang  berkata, agak sukar untuk menerima berita duka berkenaan memandangkan beliau cukup akrab dengan Zolkples.

” Beliau seperti bapa angkat saya. Sejak permulaan karier saya, Allahyarham banyak membantu dan sentiasa memberi nasihat untuk saya berjaya,” tulis pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu menerusi hantaran di Instagramnya.

Zolkples menerajui MSN sejak 2004 hingga 2014 meninggal dunia pagi tadi di kediamannya di Pandan Indah ,Ampang akibat penyakit jantung dan jenazah dibawa ke Kampung Sura, Dungun , Terengganu untuk dikebumikan.

Muhammad Azizulhasni ketika memberikan penghormatan kepada tokoh sukan negara itu menambah, Zolkples dikenali sebagai seorang yang amat baik tetapi tegas dalam urusan kerja dan berintegriti.

Sementara itu, jaguh boling negara, Shalin Zulkifli turut berkongsi kesedihan berikutan pemergian mengejut Zolkples yang dimaklumkan oleh suaminya, Azidi Ameran.

Menurut Shalin yang baharu pulang dari menyertai jelajah boling profesional di Amerika Syarikat, Zolkples telah banyak memberikan masa dan tenaga untuk meningkatkan mutu sukan negara.

” Kebanyakan atlet negara yang mencapai pelbagai kejayaan kepada negara juga adalah kerana mahu memberi penghormatan kepada Allahyarham. Beliau akan sentiasa ada dalam doa saya dan suami,” tulis Shalin menerusi Instagramnya.

Sementara itu, wartawan sukan senior, Muhamad Rizal Hashim turut mengimbau kenangan sewaktu bertugas dan peluang menemubual Zolkples.

Menurut Muhammad Rizal, beliau mengenai Allahyarham sejak awal tahun 1990-an lagi dan hubungan mereka cukup akrab sebelum bertukar dingin pada 1997.

” Rapatnya kami sehingga pelbagai topik yang dibincangkan selain kelab bola sepak kegemaran Allahyarham iaitu Manchester United,” katanya.

Muhammad Rizal turut mengimbas kenangan apabila Zolkples menghadiri majlis perkahwinannya di Sri Gading , Johor lebih 20 tahun lalu.

” Pertemuan kami seterusnya disulami peringatan mesra betapa susahnya datang ke majlis aku disebabkan Lebuhraya Utara Selatan sesak. Bagi seorang wartawan yang tidak ada jawatan, aku bersyukur kerana majlisku dihadiri oleh seorang Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), iaitu Datuk Wira Mazlan Ahmad , pemimpin sukan tempatan dan Allahyarham Dato’ Sri Zol (Zolkples) selain satu bas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membawa pasukan Bawah 19 tahun kebangsaan yang dikendalikan oleh B. Sathianathan,” tulisnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan