KUALA LUMPUR, 2 Okt : Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) mengesahkan petugas yang terlibat dengan insiden menyuntik picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia telah dihentikan daripada tugasnya serta-merta.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, CITF -A telah meneliti laporan oleh Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik oleh ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. berhubung perkara itu.
Ujarnya, kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.
“Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah menjadi keutamaan dan semua pengamal perubatan akan terus dipantau supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum ini tular video remaja berusia 12 tahun ketika mengambil vaksin COVID-19 menerima suntikan kosong ketika hadir di PPV berkenaan pada 30 September lepas.
Sementara itu, Noor Azmi yang juga Pengerusi CITF -A berkata, pihaknya kini membenarkan ibu-bapa atau penjaga menemani remaja yang mendapatkan suntikan vaksin hingga ke stesen vaksin untuk melihat proses berkenaan.
“Individu dewasa yang menemani juga dibenarkan untuk merakam video suntikan ke atas remaja ketika proses vaksinasi dijalankan,” katanya.
Beliau menambah, seperti amalan SOP sebelum ini, petugas kesihatan (penyuntik) perlu menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima.
“Semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat diingatkan untuk menjalankan tugasan dengan penuh teliti dan bertanggungjawab,” katanya. -TVS