Kita telah didedahkan kepada berita dan laporan mengenai kematian hidupan laut daripada insiden berkaitan plastik. Walaupun mereka mendapat tindakan segera daripada mereka yang prihatin, namun manusia masih membuang sampah mereka secara tidak bertanggungjawab, dan seterusnya, berakhir di dalam air yang kita guna pakai.
Plastikmikro didefinisikan sebagai kepingan plastik kecil, biasanya lebih kecil daripada 5 mm. Sebilangan besar plastikmikro terdapat di persekitaran, termasuk laut, dan dalam makanan dan air minuman. Sewaktu dalam persekitaran, plastikmikro tidak dapat di biodegrasi dan cenderung untuk terkumpul. Melainkan mereka direka khusus untuk lupus dalam persekitaran terbuka, kebanyakan plastik yang ditemui adalah bahan yang tidak biodegrasi. Biodegradasi adalah proses yang kompleks, terutamanya dalam persekitaran marin. Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kehadiran plastikmikro dalam ruang persekitaran yang berbeza (seperti air), berpotensi memberi kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.
Kajian yang dijalankan oleh Rachael Mei Yen Liong dari Curtin University Malaysia dan pasukannya, mengenai kejadian plastikmikro di dalam air dan enapan Estuari Sungai Miri, Sarawak mendapati banyak plastikmikro dalam sampel air, dalam lingkungan 0.8 hingga 2.1 mg/L atau 10.7 hingga 14.3 zarah/L. Dalam sampel sedimen, limpahan plastikmikro adalah dalam julat 26.2 hingga 62.5 mg/kg atau 283.7 hingga 456.2 zarah/kg.
Apakah yang ditunjukkan oleh nombor tersebut? Daripada lima tapak kajian (Rajah 1), telah disimpulkan bahawa banyak kandungan plastikmikro yang tinggi ditemui di kawasan komersial dan kawasan kediaman. Jenis utama plastikmikro yang dikesan dalam kedua-dua sampel air dan enapan adalah jenis serpihan dengan perkadaran masing-masing sebanyak 57.3% dan 57.9%. Saiz zarah plastikmikro yang paling banyak adalah saiz kurang daripada 1 mm. Plastikmikro berwarna seperti hitam dan biru terutamanya terdapat dalam kedua-dua sampel air dan sampel enapan (Rajah 2).
Apakah isunya? Mengapa kita harus cakna? Para saintis masih tidak pasti tentang bahaya tertentu yang mungkin berlaku jika plastikmikro yang dimakan berbahaya kepada kesihatan manusia atau haiwan. Walaupun begitu, banyak negara mengambil tindakan untuk mengurangkan plastikmikro dalam persekitaran.
Terdapat kajian di seluruh dunia mengenai plastikmikro dan air minuman. Mengejutkan, terdapat juga plastikmikro dalam kandungan air minuman yang dibotolkan (seperti Aqua, Aquafina, Bisleri, Dasani, Epura, Evian, Gerolsteiner, Minalba, Nestle (Pure life), San pellegrino, Wahaha). Kajian tersebut menunjukkan bahawa 93% air minuman yang dibotolkan mempunyai serpihan plastikmikro di dalamnya.
Selain dari air minuman, pengambilan serpihan plastimmikro juga berlaku melalui pemakanan dari sumber produk hidupan darat dan hidupan akuatik. Kesan pemakanan dalam manusia termasuk, tekanan oksidatif, kerosakan sel, keradangan dan kemerosotan peruntukan tenaga seperti yang dilihat dalam hidupan akuatik. Lebih kajian diperlukan untuk melihat kesan plastikmikro kepada kesihatan manusia, namun apa yang dapat dilakukan masyarakat umum adalah dengan mengamalkan pengunaan bertanggungjawab dan elakkan membuang sampah secara merata.