SELANGAU: Seorang wanita warga emas dijumpai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Meruan Selangau, pada petang Khamis.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah sejurus selesai menjalankan aktiviti pertanian bersama anak perempuannya di kebun.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Selangau, Mohd Shukri Abdul Rahim, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai, bagaimanapun anak perempuan mangsa yang berusia 52 tahun berjaya menyelamatkan diri terlebih dahulu.
“Mangsa ini seorang wanita berusia 74 tahun dan difahamkan beliau pergi ke kebun bersama dengan anak perempuan beliau untuk menjalankan aktiviti pertanian lah. Jadi semasa dalam perjalanan pulang tu mereka telah tergelincir di atas titi di sebatang anak sungai. Jadi apabila mereka berdua ni jatuh, terus di bawa arus dan mangsa tersebut hanyut.”katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.
Ujarnya lagi, mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kampung dan saudara maranya kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Hujan lebat yang berlaku kira-kira dua jam sebelum kejadian dipercayai mengakibatkan paras dan arus sungai berkenaan meningkat.
Sejurus kejadian, pasukan bomba telah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 6.59 petang.
“Ketika kami sampai mangsa telah pun ditemui dan telahpun dibawa oleh keluarga mangsa.” katanya lagi.