SHAH ALAM, 30 September — Berpantang maut sebelum ajal, demikian detik cemas dilalui dua beranak yang terselamat selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Raja Nong menghala ke Taman Sentosa, Klang pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata insiden tersebut melibatkan sebatang pokok getah setinggi 80 kaki tumbang melintang jalan dan menghempap kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang bapa berumur 50-an.
“Kereta tersebut turut dinaiki anak lelakinya berusia 17 tahun,” katanya.
Menurut Norazam dua beranak itu berjaya keluar sendiri dari kenderaan tersebut tanpa sebarang kecederaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.22 pagi.
Pihak bomba telah memotong dan mengalihkan pokok tersebut.
— BERNAMA