KUCHING, 29 Sept : Seramai 817 murid Tahun Enam berusia 12 tahun dari lapan sekolah rendah dalam Daerah Kuching telah mendapat vaksinasi di SJK Chung Hua No. 4 di sini pada Rabu.
Ini merupakan perhentian pertama atau ‘first stop’ bagi Daerah Kuching untuk memberi vaksin kepada murid dalam kumpulan usia tersebut.
Menurut Jonathan Chai, selaku Pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, langkah ini merupakan persiapan bagi para murid untuk kembali ke sekolah.
Di samping itu, katanya, ramai ibu bapa mengajukan pertanyaan tentang murid yang akan turun semula ke sekolah pada bulan Oktober.
“Setakat ini, oleh kerana kita berada pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, ramai ibu bapa telah bertanya sama ada anak-anak mereka akan kembali ke sekolah pada 3 Oktober. Tidak, tidak seperti apa yang diumumkan oleh menteri kerana kita masih pada Fasa Tiga,” kata Chai.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa untuk tidak terlalu gelisah tentang bila anak-anak mereka akan kembali ke sekolah.
“Namun saya pasti masanya akan tiba, dan kita hanya perlu tunggu pengumuman kementerian. Apabila masanya tiba nanti, sekolah-sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri akan memastikan SOP dipatuhi dengan ketat, demi keselamatan para murid,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Chai turut menegaskan hanya murid berumur 12 tahun sahaja yang boleh diberi vaksin setakat ini.
“Ya, mereka yang berusia 12 tahun mesti hadir pada hari ini, baharulah mereka dibenarkan untuk divaksinasi. Mereka agak ketat berhubung perkara ini,” jelasnya.
Program vaksinasi pada Rabu merupakan kerjasama antara Hospital Pakar KPJ Kuching, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Sekolah-sekolah yang menyertai program tersebut adalah SJK Chung Hua No. 1, SJK Chung Hua No. 4, SJK Chung Hua No. 5, SK St Thomas, SK Merpati Jepang, SK Laksamana, SK St Mary dan SK St Theresa.
Program vaksinasi ini disambut baik oleh seorang ibu murid, Amanda Liu.
“Anak saya mendapat vaksinasi pada hari ini. Saya berpendapat bahawa ia adalah bagus bagi mereka. Setakat ini, dia sangat baik, tidak mengalami sebarang rasa tidak selesa,” katanya. – TVS