KUCHING, 29 Sept : Menjelang peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Zon Selatan bermula 1 Oktober ini, Majlis Islam Sarawak (MIS) telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu bagi menunaikan solat fardhu dan Jumaat di masjid dan surau.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SOP PPN Fasa Tiga akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung kebenaran membuka kapasiti masjid dan surau mengikut ruang masjid dan surau.
“Untuk Majlis Islam Sarawak, kita telah bermesyuarat pada minggu lepas dan akan mengeluarkan SOP terbaharu, iaitu setiap masjid dan surau diberi kebenaran untuk membuka masjid dan surau bagi solat berjemaah fardhu dan Jumaat.
“Dengan kata lain, kapasiti jemaah yang diberikan kebenaran solat fardhu dan Jumaat bergantung kepada kapasiti saiz ruang masjid dan surau masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Proses Vaksinasi Remaja 16 dan 17 Tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Santubong pada Rabu.
Beliau menambah, SOP lain masih dikekalkan seperti penjarakan fizikal, mengambil wuduk di rumah masing-masing, membawa sejadah atau alat solat sendiri, mendaftar masuk menggunakan MySejahtera, dan sebagainya. – TVS (Ehsan UKAS)