KAJANG, 28 Sept : Seorang wanita warga asing ditemui mati dibunuh dalam sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, si mati yang merupakan warganegara Indonesia berumur awal 50-an ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimut dengan kain.
” Menurut saksi, kali terakhir wanita itu dilihat ialah pada Sabtu lepas ketika sedang berniaga,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, sekitar pukul 7.33 pagi tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan terdapat bau busuk yang mencurigakan dari dalam sebuah kedai makan di kawasan berkenaan dan sepasukan anggota polis diarahkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
” Setelah roller shutter kedai berkenaan dibuka oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis menemui mayat wanita itu di atas lantai kedai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan (ASP)Â Mohd. Faizal di talian 011-33319871.
Katanya, mayat dihantar ke Bahagian Perubatan Forensik, Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS