Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Baru keluar, masuk lagi

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 28 Sept: Seolah-olah tidak puas meringkuk di dalam penjara, dua orang bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan kembali melakukan jenayah.

Kedua-dua suspek yang merupakan lelaki tempatan dikatakan melakukan jenayah pecah rumah dan samun di bandar Kuching dan kawasan sekitarnya, sekali lagi dicekup pihak polis dalam dua serbuan berasingan pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata seorang wanita tempatan turut ditahan dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka dan sebuah bilik sewa di Jalan Tun Ahmad Adruce, Kuching itu.

“Kesemua suspek berusia 26, 28 dan 39 tahun telah ditahan dalam serbuan pada 24 dan 25 September lalu.

“Dua suspek lelaki merupakan bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan pada Disember 2020,” dedah Ahsmon dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Hasil semakan rekod jenayah lampau kesemua suspek mendapati mereka juga pernah terlibat dalam jenayah narkotik selain kegiatan samun dan pecah rumah.

Ketiga-tiga suspek yang menganggotai ‘Geng Piji’ atau ‘Geng Tiga’ ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A, Seksyen 411, Seksyen 427 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Modus operandi yang digunakan adalah sangat licik di mana mereka hanya menjalankan jenayah ini dalam masa satu jam, iaitu dari jam 2 hingga 3 pagi sahaja untuk memecah masuk ke dalam rumah yang mereka sasarkan,” jelas Ahsmon.

Kumpulan ini akan mencuri kenderaan dan mengeluarkan aksesori yang dapat dijual semula sebelum bertindak membakar kenderaan terbabit bagi mengelakkan dijejaki pihak berkuasa.

“Kenderaan akan dibakar di satu kawasan lapang yang terletak di Jalan Bako, Kuching, selepas mereka mengambil aksesori dan dijual kepada pelanggan.

“Suspek wanita yang berperanan sebagai ‘perancang pemasaran’ akan mempromosikan barang-barang terbabit menerusi kaedah konvensional iaitu secara bersemuka dengan pelanggan.

“Kesemua transaksi pembayaran akan dibuat secara fizikal dan bukan atas talian bagi mengaburi tindak-tanduk mereka daripada dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

Dengan tertangkapnya ‘Geng Piji’ ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kenderaan dan 15 kes pecah rumah dengan nilai anggaran kerugian mencecah RM430,000.

Selain itu, polis juga masih giat memburu seorang lagi lelaki dikenali sebagai Muhammad Rafizie Saharie berasal dari Kampung Semariang Batu untuk membantu siasatan.

“Saya mohon kepada orang awam yang pernah menjadi mangsa insiden pecah rumah untuk tampil ke balai polis bagi tujuan pengecaman barangan hak milik mereka,” tegas Ahsmon. -TVS

Tags: #ahsmon

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan