KUALALUMPUR, 27 Sept: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) merancang untuk mengeratkan hubungan hubungan menerusi DuitNow Malaysia dan sistem pembayaran masa nyata PayNow Singapura.
BNM dalam satu kenyataan berkata, bagi fasa pertama hubungan DuitNow-PayNow akan dilancarkan pada suku keempat 2022 yang membolehkan pelanggan institusi kewangan menggunakan telefon bimbit untuk pemindahan dana.
“Pelanggan juga mampu melakukan pembayaran runcit dengan mengimbas kod DuitNow atau NETS QR yang dipaparkan di hadapan premis peniaga.
“Projek ini akan membolehkan pembayaran yang lebih lancar untuk jumlah pengiriman wang yang tinggi antara Malaysia dan Singapura, yang telah mencecah RM4.2 bilion pada 2020,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, menurut Penolong Gabenor BNM Fraziali Ismail, inisiatif ini akan mengukuhkan lagi ekonomi antara Malaysia dan Singapura sekali gus menjadi penyokong utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi pasca pandemik.
“Perkaitan DuitNow-PayNow juga mencerminkan satu lagi tonggak penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.”katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Kewangan MAS, Sopnendu Mohanty menambah, perkaitan DuitNow-PayNow turut menjadi infrastruktur penting dalam menyokong keperluan pembayaran rentas sempadan untuk individu dan perniagaan serta aktiviti ekonomi digital yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.