KUALA LUMPUR, 24 September — Polis menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.
“Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.
“Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.
Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.
“Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.
Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.
Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA