KUALA LUMPUR, 23 Sept : Tindakan satu sindiket memproses dadah yang menjadikan sebuah kondominium mewah di Mont Kiara sebagai makmal untuk kegiatan jenayah mereka tidak berpanjangan apabila lokasi berkenaan diserbu polis Isnin lepas.
Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, empat lelaki tempatan berusia dalam lingkungan usia 21 hingga 49 tahun berjaya ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur , Â Asisten Komisioner (ACP)Â Sahar Abd Latif berkata, ketika pemeriksaan di unit kondominium berkenaan, polis berjaya merampas 11.95 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM160 130 00 serta serbuk kafein seberat 25 kg yang bernilai RM8500 serta peralatan memproses dadah.
Ujarnya, hasil siasatan telah membawa polis menyerbu dua lagi lokasi iaitu sebuah kuil di Jalan Ipoh dan stor ternakan anjing di Kampung Baru Subang, Shah Alam , Selangor.
” Dua serbuan berikutnya itu polis berjaya menahan empat lagi lelaki tempatan berusia dalam lingkungan usia 34 hingga 43 tahun yang disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket berkenaan manakala ujian air kencing yang dilakukan mendapati dua daripada mereka positif dadah,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, polis turut menyita empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Proton Perdana, Nissan Navara dan Toyota Harrier yang keseluruhan bernilai RM163 000 daripada sindiket yang mula beroperasi sejak dua bulan lepas.
” Nilai dadah yang dirampas pula mencecah RM168 630 dan jika terlepas ke pasaran, ia boleh menampung kegunaan seramai 23,900 orang penagih,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS