KUALA LUMPUR: Piala Malaysia kini menjadi fokus buat Sarawak United FC selepas usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Liga Premier terkandas di penghujung saingan.
“Sarawak akan cuba berikan cabaran di piala malaysia dan saya rasa kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan dalam kumpulan kami yang terdiri dari semua pasukan liga super,” kata Chanthuru.
Menurut Pemain Sayap Sarawak United FC, S. Chanthuru dia dan rakan-rakan mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.
Sarawak United FC bakal berada dalam kumpulan A bersama Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC dengan perlawanan pertama akan berlangsung di stadium bandaraya berdepan Penang FC pada 26 September ini.
Kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir menjadi punca di sebalik kekecewaan sarawak united yang terpaksa merelakan Negeri Sembilan FC bergelar juara Liga Premier 2021.
Hakikat itu dikongsikan Ketua Pasukan Sarawak United, Taylor Regan, yang berasakan pasukannya layak dinobatkan naib juara Liga Premier setelah melepaskan kelebihan lima mata yang dimiliki ke atas Negeri Sembilan.
“Mungkin apa yang terjadi dengan pasukan pada perlawanan terakhir ada memberikan sedikit kesan tetapi saya tidak mahu berikan sebarang alasan di sebalik kegagalan kami,” kata Taylor.
Taylor serta rakan sepasukan sememangnya tidak gembira dengan apa yang terjadi namun dalam masa sama dia akui kejayaan ke liga super sebagai sesuatu yang membanggakan setelah bekerja keras sepanjang musim. – MFL