GEORGETOWN, 22 Sept : Polis negeri berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM3.87 juta menerusi dua serbuan yang dilakukan pada Isnin lepas.
Serbuan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik , Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Pasukan Marin Wilayah Satu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dan IPD Seberang Perai Selatan (SPS) itu sekaligus berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah ke pasaran luar negara menerusi jalan laut.
Dalam serbuan pertama di jeti pendaratan ikan Sungai Acheh, Balik Pulau pada pukul 2.30 petang, lima lelaki yang terdiri daripada dua rakyat tempatan dan tiga warga asing ditahan bersama dadah seberat 107.5 kilogram (kg) yang diisi dalam 100 bungkusan teh dan disorok dalam bot gentian kaca.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, susulan itu, anggotanya menyerbu sebuah rumah di Bukit Tambun, Nibong Tebal, SPS yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki.
Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya, sindiket berkenaan menjadikan jeti berkenaan sebagai pengkalan sebelum bekalan dadah diseludup ke luar negara.
” Sekiranya terlepas, dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 537 500 orang penagih ,” katanya pada sidang media di IPK negeri hari ini.
Beliau memberitahu, sindiket berkenaan memilih untuk ‘memasarkan’ dadah berkenaan di luar negara adalah kerana faktor harganya yang lebih tinggi berbanding jika dijual di pasaran tempatan.
Mohd. Shuhaily memberitahu, polis turut menyita dua buah kenderaan , dua buah motosikal dan merampas wang tunai sebanyak RM17,800.
Katanya, kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh dan berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 55 tahun itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS