KUALA LUMPUR, 22 Sept : Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberi rawatan pemulihan kepada 47,863 orang klien bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun AADK turut berdepan kekangan dalam melaksanakan tugas akibat beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini, namun rawatan kepada klien tidak terjejas.
” Usaha memberi rawatan dapat diteruskan dengan cara yang lebih kreatif termasuk meningkatkan penggunaan teknologi bagi memastikan semua klien mendapat akses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD)Â dan Hari Kepulihan AADK Kebangsaan 2021 secara dalam talian hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK kini sedang menyediakan draf Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan yang akan menggantikan Akta Penagih Dadah 1983Â yang telah lapuk.
” Sebelum dibentangkan di Parlimen, KDN akan memberi waktu yang mencukupi kepada pemegang taruh, pihak berkentingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan akta baharu itu merangkumi aspek perundangan yang komprehensif dan tersusun dan seterusnya klien dapat menerima rawatan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu Hamzah berkata, kementerian juga berharap permohonan peruntukan RM10 juta melalui Belanjawan 2022 untuk aktiviti pemulihan bekas klien di seluruh negara dapat diluluskan kerajaan. -TVS