Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Taiyo Yuden, Jepun tingkatkan pengeluaran kapasitor seramik pelbagai lapisan di Sarawak

KUALA LUMPUR, 22 Sept- Anak syarikat Taiyo Yuden Co Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, memperluas kemudahan pembuatan kapasitor seramik pelbagai lapisannya di Kuching sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya di rantau ASEAN.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata ini merupakan satu lagi kejayaan Malaysia sebagai hab pilihan untuk pengeluar global dan pintu masuk ASEAN.

Katanya pelan pengembangan itu telah dibincangkan dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Tokyo pada April 2021 yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Keputusan Taiyo Yuden untuk menyuntik pelaburan modal sebanyak RM680 juta bagi kemudahan baharu mereka mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap kesediaan ekosistem kita untuk menyokong pengeluaran global.

“Pencapaian ini menunjukkan kejayaan strategi yang agresif dan berkesan kerajaan untuk mengalu-alukan dan memudahkan FDI yang berkualiti tinggi,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata MIDA bekerjasama erat dengan Taiyo Yuden untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pengembangan syarikat itu yang akan menjana 2,000 peluang pekerjaan tambahan.

Sementara itu, Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Taiyo Yuden Shinji Masuyama berkata syarikat menjangka permintaan yang tinggi untuk kapasitor seramik pelbagai lapisan pada masa depan berikutan kemajuan teknologi dalam kenderaan, elektrik dan elektronik, telefon pintar 5G dan infrastruktur komunikasi.

“Pembinaan kilang baharu ini adalah agenda pelaburan yang penting di bawah Pelan Pengurusan Jangka Sederhana 2025 kumpulan.

“Kami akan terus berusaha untuk berkembang sebagai perusahaan perniagaan yang dipercayai oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuk pelanggan kami, komuniti tempatan di Malaysia dan pekerja,” katanya.

Tapak pengeluaran Taiyo Yuden di Sarawak mengeluarkan kapasitor seramik pelbagai lapisan, yang merupakan komponen penting untuk mencipta peranti elektronik mini dan berprestasi tinggi.

Sejak 1994, syarikat telah menggaji 4,600 pekerja di kilang pembuatannya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan