Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Diupah RM2,000 bagi setiap kilogram, penganggur dicekup dengan 36 kilogram syabu di sempadan

ByNur Suhaida Muliyono

SERIAN, 21 Sept: Dibayar RM2,000 bagi setiap satu kilogram (kg) dadah yang dihantarnya, seorang penganggur akhirnya “kantoi” dengan pihak berkuasa selepas lima bulan menjadi ‘transporter’ ke negara jiran.

Suspek dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Kilometer 8, Kampung Sejijak, Jalan Tebedu-Serian selepas melakukan pusingan-U ketika kenderaan dipandunya menghala dari Serian ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, 5 pagi Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata suspek yang mengaku telah melakukan kegiatan penyeludupan dadah ke negara jiran sejak April 2021 itu sebelum ini berjaya menghantar kira-kira 18 kg dadah jenis methamphetamine yang membawa keuntungan mencecah RM144,000.

“Suspek juga mendedahkan bahawa dia telah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu ini sejak awal tahun 2018 lagi.

“Namun, kali ini dia tumpas di tangan pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada Selasa.

Hasil semakan mendapati penganggur yang berusia 48 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dedah Aidi, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaannya, pihak berkuasa menjumpai empat beg galas yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 36 kilogram bernilai RM1.296 juta yang merupakan rampasan terbesar di Sarawak setakat ini.

“Setiap satu beg galas itu mengandungi sembilan bungkusan teh cina dan setiap bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat satu kg,” ujarnya.

Suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil saringan air kencing suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), seutas jam tangan berjenama bernilai lebih kurang RM1,700 dan wang tunai berjumlah RM572 turut dirampas,” jelas Aidi.

Dalam pada itu, Aidi memberitahu, pihak polis telah mengambil tindakan untuk meletakkan elemen-elemen narkotik di setiap sekatan jalan raya di bawah Op Benteng selain meneruskan siasatan lanjut bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di Sarawak.

“Maklumat tangkapan juga akan disalurkan kepada bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman,” tegas Aidi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan