PUTRAJAYA, 20 Sept — Kebanyakan remaja daripada kumpulan awal yang menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di sini hari ini, teruja menerima suntikan dos pertama dan kelihatan tidak sabar untuk kembali ke sekolah.
Program bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun itu bermula secara rasmi hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 sebagai lokasi pelancaran, yang ia turut dihadiri Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga penyelaras PICK Remaja Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan Muhd Ihsan Syafiqin berkata baginya suntikan vaksin itu umpama ‘penawar’ kepada rindunya pada masa-masa di sekolah sebelum pandemik melanda.
“Gementar, tapi lega kerana selepas ini saya dapat melakukan aktiviti harian seperti bersukan dan belajar secara bersemuka dengan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menerima suntikan.
Sementara itu Haziq Zafri Hiruddin, 17, yang disuntik oleh Dr Noor Azmi sendiri berkata remaja tidak harus takut untuk tampil menerima vaksin berkenaan, kerana ia adalah ‘jalan keluar’ daripada belenggu COVID-19 yang telah memberi impak kepada golongan remaja dari segi sosial, interaksi dan pembelajaran.
“Sejak pandemik COVID-19 bermula pelajar terpaksa menjalani PdPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah). Saya rindu zaman sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan buat aktiviti kurikulum bersama,” katanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Sependapat dengan Haziq Zafri, Narmetha Regunathan, 17, berkata pemberian vaksin untuk remaja amat ditunggu-tunggunya kerana vaksinasi akan membolehkan golongan itu menjalani kehidupan sebagaimana keadaan sebelum pandemik menjelma, dengan penuh yakin dan selamat.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya divaksin. Sangat lama kami tidak bersemuka dengan guru-guru dan rakan-rakan kerana hanya mengikuti pembelajaran dalam talian. Saya rindukan hari-hari bersama rakan dan guru di sekolah. Saya harap situasi akan bertambah baik secepat mungkin dan kita dapat kembali ke kehidupan normal. Mengambil vaksin adalah satu cara untuk keluar daripada pandemik,” katanya.
Rata-rata ibu bapa turut melahirkan perasaan lega dengan pelaksanaan PICK Remaja, kerana sebelum ini anak-anak mereka tidak diizinkan keluar bagi mengelak dijangkiti COVID-19, selain khuatir akan membawa pulang virus kepada anak masing-masing.
Ibu Muhd Ihsan, Mas’amah Ibrahim, 54, berkata beliau sememangnya mengharapkan vaksinasi untuk remaja segera dilaksanakan, kerana risau kesan psikologi yang mungkin menimpa anaknya akibat terkurung di rumah dalam tempoh yang panjang.
“Dalam keluarga kami hanya dia sahaja yang belum divaksin. Selepas ini saya lebih yakin jika dia minta untuk keluar bersama kawan-kawan. Saya percaya beliau akan lebih yakin dengan persekitaran untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu ini, termasuk ke sekolah, bersukan dan bersosial,” katanya yang juga Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu.
Sementara itu bapa Narmetha, Nathan Vaithi, 56, menasihati ibu bapa yang takut untuk mendapatkan vaksin bagi anak-anak mereka supaya tidak bimbang kerana vaksinasi tidak memudaratkan, sebaliknya mendatangkan impak positif dan memberi peluang kepada generasi muda untuk menjalani kehidupan biasa semula.
Seramai 323 pelajar berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 menerima dos pertama vaksin COVID-19 hari ini.
— BERNAMA