SIBU, 2 Julai: Sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah sejak tahun 2015, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan membabitkan kegiatan pengedaran dan pemilikan dadah berbahaya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Tie Teck Hock, 52, dan isterinya Lee Chee Fei, 45, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Foochow di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Bagi pertuduhan pertama, Tie didakwa mengedar 1,030.80 gram methamphetamine di kaki lima sebuah premis makanan di Jalan Pedada kira-kira jam 10 malam pada 12 Jun 2025.
Pertuduhan kedua pula melibatkan Tie dan Lee yang didakwa bersama mengedar 6,055.90 gram methamphetamine di sebuah stor bawah tangga di sebuah rumah di Lorong Permai Jaya 9D1B1, kira-kira jam 10.45 malam pada hari yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, pasangan tersebut turut berdepan dakwaan memiliki 2,078.90 gram ketamin dan 2,022.15 gram nimetazepam di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tie sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pada 26 Jun selepas tamat tempoh reman lanjutan tujuh hari, manakala Lee turut dibebaskan lebih awal pada 24 Jun selepas reman empat hari. Namun kedua-duanya telah ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah mengarahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di bawah Seksyen 41B(1)(a) ADB 1952.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nuralisa Natasha Nazrulzam, manakala pasangan tersebut diwakili peguam Reena Chong.-TVS