BINTULU, 2 Julai: Bantuan awal telah disalurkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sebuan Besar, Jepak, Bintulu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Menurut Iskandar, pihaknya kini sedang mengemas kini maklumat mangsa untuk diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan seterusnya.
“Bantuan awal telah disalurkan oleh pihak Baitumal dan kita di sini, saya pun sendiri telah memberi bantuan dari segi kewangan untuk permulaan meringankan beban keluarga yang mana mereka banyak kehilangan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank sekali kan jadi kita beri dulu bantuan awal supaya mereka boleh membelanjakan untuk kegunaan yang mustahak untuk keluarga mereka.
“Dan kebanyakan mangsa telah balik dan menumpang di rumah keluarga masing-masing dan kita tidak membuka sebarang Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jadi dewan ini cuma untuk kegunaan sementara waktu sahaja untuk mengumpul mereka bagi mendapatkan maklumat dan membantu mereka.”
SOT OUT
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penduduk kampung didedahkan kepada ilmu mengendali kebakaran pada peringkat awal dan bekerjasama dengan pihak bomba dalam hal ini.
Beliau turut mencadangkan supaya pasukan bomba sukarelawan ditubuhkan di Kampung Jepak.
Sebanyak lapan buah rumah di Kampung Sebuan Besar, Jepak terbakar dalam satu insiden yang berlaku pada jam kira-kira 2.35 petang.
Seramai 27 penghuni rumah terselamat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan dua rumah musnah hampir keseluruhan, manakala enam rumah terbakar antara 10 hingga 100 peratus dalam kejadian itu. – TVS