BELAGA, 1 Julai: Polis mengesahkan insiden tular membabitkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dipukul di Sungai Asap pada 28 Jun lalu telah diselesaikan secara baik oleh keluarga mangsa dan pihak terlibat.
Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Jimbai Bala berkata kejadian itu dikesan selepas satu rakaman video dan gambar memaparkan seorang individu lelaki dipercayai dipukul dimuat naik di laman Facebook.
“Pada hari yang sama, tindakan proaktif pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga telah berjaya mengenal pasti kesemua lima orang subjek berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 29 Jun, polis berjaya mengesan mangsa yang juga seorang remaja lelaki tempatan berusia 16 tahun bersama bapa kandungnya.
Kedua-duanya hadir ke Pondok Polis Sungai Asap dan berjumpa dengan semua individu serta ahli keluarga mereka.
Menurut Jimbai, siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 10 Jun lalu berpunca daripada insiden apabila mangsa dikatakan pernah mengganggu sepupu salah seorang daripada subjek.
“Hasil perjumpaan antara keluarga mangsa dan subjek, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak memanjangkan kes ini demi masa depan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, bapa mangsa turut membuat laporan di IPD Belaga bagi mengesahkan beliau mengetahui kejadian tersebut dan telah menyelesaikannya secara baik.
“Bapa mangsa juga memohon agar semua pihak agar menghapuskan serta tidak lagi menyebarkan video serta gambar anaknya di mana-mana media sosial,” jelasnya. – TVS