PUTRAJAYA, 1 Julai: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa Perlembagaan Madinah wajar dikaji dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Baginda yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) ke-73 bertitah bahawa kedua-dua perlembagaan itu memperlihatkan nilai-nilai perpaduan, keadilan, kerjasama antara pelbagai kaum, dan pengiktirafan terhadap kedaulatan undang-undang yang menjadi asas penting dalam pembinaan negara bangsa.
“Senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah boleh dijadikan kajian perbandingan yang menarik dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Malaysia ke-73 di sini hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.
Sultan Nazrin bertitah bahawa Rasulullah SAW telah memperkenalkan suatu dimensi baharu ketika diamanahkan memimpin Kota Madinah dengan prinsip kedaulatan undang-undang dijadikan asas pemerintahan, menggantikan pemerintahan berasaskan individu.
Titah baginda, Perlembagaan Madinah mempamerkan perlembagaan yang sangat terperinci dan komprehensif.
“Tergubal dalam perlembagaan tersebut adalah komponen-komponen kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, serta jaminan keadilan dan perlindungan yang saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum, puak, dan kabilah,” titah baginda.
Sementara itu, menyentuh mengenai konteks dalam negara, Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan terhadap trend terkini dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu yang semakin cenderung terlibat dalam amalan memecah-belahkan, saling menjatuhkan, dan melemahkan sesama sendiri.
Baginda bertitah bahawa sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran umat Islam dan orang Melayu yang pada ketika ini semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri.
“Jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa,” titah baginda. – TVS