GEORGE TOWN, 1 Julai: Seorang wanita dan anak perempuannya berusia 2 tahun ditemui mati dalam keadaan mayat telah reput di dalam sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini semalam.
Kejadian itu disedari jiran mangsa yang menghidu bau busuk dari dalam rumah berkunci tersebut sebelum menghubungi polis kira-kira pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Balai Polis Sungai Nibong dengan dibantu anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memecah masuk ke dalam rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemui mayat seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan di bilik utama dalam keadaan telah reput.
“Berdasarkan dokumen pengenalan si mati, kedua-dua mereka dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak.
“Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat. – TVS