GEORGE TOWN, 1 Julai: Seorang guru wanita di sini berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM890,000 lesap dipercayai akibat diperdaya sindiket phone scam semalam.
Mangsa berusia 59 tahun yang bertugas di negeri ini dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menggunakan nombor telefon tidak dikenali yang mendakwa dirinya wakil bank CIMB pada 10 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata individu berkenaan memberitahu mangsa bahawa terdapat penyalahgunaan kad kredit atas namanya, namun mangsa menafikan hal itu.
Kata beliau, seterusnya panggilan telefon disambungkan kepada individu lain yang mengaku dirinya pegawai polis dari Balai Polis Johor.
“Suspek kemudian memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan meminta mangsa menyerahkan kesemua wang miliknya untuk tujuan audit.
“Suspek turut menyatakan bahawa wang itu akan dipulangkan setelah siasatan selesai selain mengugut akan mengenakan waran tangkap jika gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ujar Mohd Alwi, akibat takut, mangsa telah melakukan 27 transaksi pemindahan wang secara atas talian ke dalam 23 akaun bank berbeza bermula 19 Mei hingga 5 Jun lalu, berjumlah RM890,000.
“Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas dia menceritakan perkara itu kepada rakannya sebelum dimaklumkan bahawa itu adalah penipuan scammer.
“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Isnin,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS