KOTA BHARU, 30 Jun: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 200 ekor haiwan ternakan selepas menahan sebuah treler di jalan Kampung Pak Mud, Jeli pada Jumaat lalu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat 166 ekor kambing dan 34 ekor biri-biri berada di belakang treler berkenaan.
Beliau berkata pemandu treler berkenaan, lelaki warga tempatan yang menjadi penghantar haiwan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu ke pasaran tempatan, turut ditahan.
“Nilai rampasan dianggarkan RM625,000 termasuk treler, dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Nik Ros Azhan berkata pihaknya dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki positif dadah jenis Methamphetamine, semasa membuat sekatan jalan raya di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, semalam.
“Kesemua suspek yang berumur 20 hingga 30 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. -TVS