KUALA LUMPUR, 30 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu siri lawatan ke tiga buah negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula 1 Julai ini.
Siri lawatan Perdana Menteri kali ini yang bermula dengan lawatan rasmi tiga hari ke Itali mulai Selasa adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.
Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam berkata lawatan pertama Perdana Menteri ke Itali ini adalah atas jemputan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
“Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali yang mencakupi pelbagai bidang. Lawatan ini turut memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta kerjasama antaranya dalam sektor pertahanan, tenaga dan sektor agro-komoditi,” katanya kepada pemberita di Malaysia menerusi platform Google Meet dari Rom, pada Isnin.
Menurut Kementerian Luar, di Brazil Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak BRICS di Rio de Janeiro sebagai negara rakan dalam pakatan yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Indonesia dan Iran.
Zahid berkata dalam lawatan rasmi ke Itali, Perdana Menteri akan diiringi oleh lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, katanya.
Menurut Zahid, turut mengiringi Perdana Menteri ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkaitan serta satu delegasi korporat melibatkan 13 syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia.
Beliau berkata, Anwar dan delegasi dijangka tiba di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom sekitar 7.50 malam pada Selasa, 1 Julai dan beliau dijangka menghoskan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Itali pada malam yang sama.
Pada Rabu, 2 Julai Perdana Menteri akan terlibat dalam mesyuarat meja bulat bersama kapten-kapten industri Itali dan Malaysia dalam sebuah acara yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Itali yang dipanggil “Malaysia, Italy Economic Partnership Roundtable”, katanya.
Beliau berkata mesyuarat meja bulat itu akan melibatkan lebih daripada 50 syarikat, persatuan dan industri dari Malaysia dan Itali.
Pada hari yang sama Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Imam Yahya Pallavicini, Naib Presiden Comunita Religiosa Islamica Italiana (COREIS) dan Abdellah Redouane, Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali dan Masjid Rom.
Menurut Zahid, pada Khamis, 3 Julai, Perdana Menteri akan diwawancara oleh Rai News 24, rangkaian berita televisyen tempatan yang utama dan berpengaruh di Itali.
Dalam sesi temu ramah itu, Perdana Menteri dijangka ditemu bual mengenai hubungan dua hala di antara Malaysia dan Itali, perdagangan dan pelaburan serta berkongsi mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, katanya.
Beliau berkata pada tengah hari 3 Julai, Anwar dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Itali, Meloni di Palazzo Chigi.
Semasa pertemuan ini, kedua-dua pihak akan membincangkan beberapa perkara yang merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang pertahanan, tenaga boleh baharu dan alam sekitar, agro-komoditi dan bidang digital.
Turut akan dibincangkan ialah kerjasama dalam hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan, sektor pelancongan, isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama seperti situasi di Timur Tengah, kata Zahid.
Beliau berkata lawatan Perdana Menteri ke Itali adalah sangat signifikan dalam mencerminkan hubungan akrab di antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan ini, kedua-dua pemimpin akan menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala melalui kerjasama yang lebih komprehensif.
Menurut beliau lawatan ini akan memberi mandat dan momentum untuk mempertingkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang lebih strategik pada masa hadapan.
Secara keseluruhan lawatan ini akan menjadi wadah untuk Perdana Menteri mengetengahkan dasar luar Malaysia terutama pendirian negara dalam isu serantau dan global di pentas antarabangsa serta fokus kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada masa ini, kata Zahid.
Beliau berkata pada tahun 2024 jumlah perdagangan Malaysia dan Itali adalah sebanyak RM14.61 bilion, dengan jumlah eskport Malaysia ke Itali melibatkan RM6.71 bilion dan import Malaysia dari Itali adalah sebanyak RM7.89 bilion, katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah. – TVS