SARATOK, 30 Jun: Seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu antara yang ditahan dalam Ops Motosikal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diadakan di kawasan sekitar Jalan Feeder Saratok, Jalan Roban Lama dan kawasan sekitar Pekan Saratok mulai 12 Jun hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Maggie berkata, hasil daripada operasi tersebut sebanyak sembilan buah motosikal telah ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebuah ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Satu tangkapan di bawah Seksyen 29(1) AKK/Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
“Selain itu, kesalahan lain yang dilakukan ialah kesalahan ubah suai ekzos, ubah suai struktur kenderaan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak
mengikut spesifikasi dan sebagainya sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sebanyak kes 35 keping saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sepanjang operasi itu dijalankan.
“Satu unit Ops Motosikal telah ditubuhkan yang terdiri daripada anggota BSPT IPD Saratok diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Saratok untuk membanteras aktiviti-aktiviti tidak sihat melibatkan kenderaan motosikal ini.
“Pihak polis menasihati dan mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya. -TVS