KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Warga Emas pada Sidang Parlimen 2026.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya sedang mengadakan sesi perbincangan bersama pemain industri dan pihak berkepentingan, sebelum draf RUU itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelang hujung tahun ini.
“Draf tersebut telah pun disediakan. Sekiranya dapat diselesaikan dalam tahun ini, itu adalah lebih baik, namun saya berpendapat ia mungkin hanya akan dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.
“Apa yang kami sedang lakukan sekarang ialah kami perlu kembali berjumpa dengan pemain industri dan pemegang taruh untuk berbincang semula dengan mereka. Ini merupakan satu proses yang berterusan,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan ASEAN – ROK mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff serta Duta Besar Korea Selatan ke ASEAN, Lee Jang-Keun.
Pada masa sama, Nancy memaklumkan bahawa perbincangan tersebut turut melibatkan kerajaan negeri dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kami turut melibatkan mereka kerana rang undang-undang ini bukan hanya untuk kita di Semenanjung sahaja.
“Menteri-menteri dari negeri-negeri lain, terutamanya dari Borneo, juga terlibat untuk memastikan bahawa mereka bersetuju dengan apa yang sedang atau akan kami laksanakan,” jelasnya.
Persidangan ASEAN – ROK mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas ini dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan penjagaan warga emas di rantau ASEAN dan Republik Korea (ROK).
Anjuran ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran serta peluang dalam usaha menangani isu penjagaan warga emas. – TVS