LAWAS, 30 Jun: Dua penyumbang dari negara Brunei tampil bermurah hati menyalurkan sumbangan wakaf berjumlah RM3,823 bagi tujuan pembelian van jenazah untuk kegunaan Masjid Misbahul Huda, Kampung Awat-Awat, Sundar.
Bendahari wakaf masjid berkenaan, Adanan Tahir berkata kemudahan van jenazah amat diperlukan penduduk kampung kerana berdepan kesukaran setiap kali berlaku kematian.
“Sumbangan ini amat besar maknanya kepada penduduk, khususnya dalam memudahkan urusan pengurusan jenazah.
“Setakat ini, kita memerlukan kira-kira RM60,000 untuk mendapatkan sebuah van jenazah baharu dan amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun persatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dana terkumpul hasil sumbangan wakaf setakat ini mencecah kira-kira RM9,000, termasuk sumbangan daripada masyarakat di daerah ini serta penduduk negara jiran, Brunei.
Katanya, Masjid Misbahul Huda sebelum ini pernah menerima sebuah van jenazah wakaf oleh penyumbang dari Brunei kira-kira 12 tahun lalu, namun kenderaan itu kini tidak lagi boleh digunakan akibat kerosakan serius.
Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Pengerusi Masjid, Haris di talian 010-5466037 atau Adanan di talian 011-19348544.