BUTTERWORTH, 30 Jun: Seorang pesara tentera meninggal dunia akibat serangan jantung di ruang solat Masjid Jamek Sungai Puyu di sini kelmarin.
Mangsa, Zulkifli Ahmad, 50, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai semasa sedang menunaikan solat, oleh orang awam kira-kira pukul 10.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abdul Rahman, berkata polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuhnya.
Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang berada di lokasi kejadian turut mengesahkan mangsa yang beralamat di Pangsapuri Indah, Teluk Air Tawar di sini, telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat di HSJ mengesahkan punca kematian adalah akibat saluran jantung tersumbat.
“Polis mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. – TVS