KUCHING, 30 Jun: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyeru semua pihak termasuk majikan, pekerja, institusi latihan serta komuniti setempat untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak dalam mewujudkan ekosistem pekerjaan inklusif, adil dan progresif.
Menurutnya, segala inisiatif JTK Sarawak sejajar dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam merancakkan pembangunan sosial dan ekonomi wilayah ini.
“Program Labour Go Rural Area Programme (LGRAP) merupakan inisiatif strategik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui JTK Sarawak bagi memperluas perkhidmatan tenaga kerja ke kawasan luar bandar dan memberi manfaat besar kepada pekerja swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia dan Majlis Pelepasan LGRAP 6.0, di sini hari ini.
Pada masa sama, Willie turut menggesa semua agensi di bawah KESUMA memperluas capaian perkhidmatan bukan sahaja melalui LGRAP tetapi juga menerusi media sosial dan saluran arus perdana.
“Ramai yang masih tidak sedar akan kewujudan perkhidmatan penting seperti pencen penakat oleh PERKESO. Ramai waris tidak menuntut kerana tidak tahu ia wujud,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai program kerajaan sedia ada boleh menyokong masyarakat namun kurangnya maklumat menjadi kekangan utama.
Beliau menyifatkan program seperti LGRAP sebagai alat penting untuk menyampaikan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan terus kepada masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.-TVS