Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin memeriahkan Majlis Ngiling Bidai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lasi pada Ahad. Foto TVS

Impian penduduk Nanga Lasi miliki jambatan baharu jadi kenyataan

JULAU, 30 Jun: Impian sekian lama penduduk Nanga Lasi untuk memiliki jambatan bagi kemudahan menyeberangi Sungai Julau akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaan jambatan tersebut siap sepenuhnya.

Majlis perasmian jambatan itu dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos depan dan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, jambatan berkenaan merupakan satu keperluan mendesak bagi penduduk tempatan yang sekian lama berdepan kesukaran untuk berhubung terutama ketika musim tengkujuh.

“Rentetan usaha ini, projek naik taraf jalan ke kawasan Balut-Suchong juga diluluskan dengan kos sebanyak RM94 juta bagi memperluas jaringan infrastruktur luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Nanga Lasi, semalam.

Rolland turut memaklumkan fasa pertama pembayaran pampasan tanah dan tanaman yang terlibat dalam projek naik taraf jalan tersebut akan dilaksanakan pada majlis perasmian jambatan nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan Dewan Serba Guna SK Nanga Lasi menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2026.

“Pada majlis ini juga, saya menyerahkan bantuan khas berupa 30 pasang meja dan kerusi murid bernilai RM10,000 sebagai sokongan kepada keperluan sekolah,” ujarnya.

Beliau turut menyeru ibu bapa terus memberi sokongan padu terhadap pendidikan anak-anak serta memberi jaminan untuk membantu menjayakan inisiatif pendidikan di kawasan tersebut.

Tambahnya, kerjasama erat antara guru, PIBG dan komuniti setempat adalah asas kekuatan dalam memastikan kelestarian pendidikan di sekolah luar bandar.

“Saya juga memuji semangat perpaduan warga sekolah, PIBG serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam menjayakan majlis ini,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan