KINABATANGAN, 30 Jun: Seorang lelaki yang dipercayai jatuh ke Sungai Kinabatangan ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bilit malam tadi.
Mangsa yang berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat yang menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sejak pagi semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kampung Sukau pada jam 9.12 pagi memaklumkan seorang lelaki jatuh ke sungai sekitar jam 6 pagi pada 28 Jun.
Berikutan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan digerakkan ke lokasi sejauh 60 kilometer menggunakan jentera pacuan empat roda sebelum memulakan pencarian secara water surface searching sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pada jam 9.45 malam, kami menerima maklumat daripada orang awam bahawa satu mayat ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bilit,” katanya.
Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.-TVS